Kata Aluan Dekan

Assalamualaikum. 

Selamat Datang ke Laman Web Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan , Universiti Putra Malaysia  

Laman web ini bakal memberi laluan kepada pelayar maya untuk mengenali fakulti ini dengan lebih dekat serta mendapatkan maklumat akademia dan aktiviti terkini.  

Untuk makluman , fakulti ini telah ditubuhkan pada 1hb Ogos 1996 dan pada hari ini merupakan fakulti yang terbesar di UPM dengan jumlah seramai 557 Staff akademik dan sokongan di bawah  23 jabatan .  

Struktur organisasi fakulti ini adalah paling unik di kalangan semua Universiti Awam di Malaysia dimana gandingan 2 bidang utama , Perubatan dan Sains Kesihatan di bawah satu pentadbiran merupakan kekuatan semulajadi fakulti ini yang berfungsi sebagai Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran berprestij bagi menjana pembangunan generasi modal insan baru yang berprestasi tinggi. 

Sebagai sebuah fakulti dibawah Universiti Awam berstatus Universiti Penyelidikan di Malaysia , FPSK menawarkan program-program pengajian berkualiti diperingkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Lanjutan termasuk dalam bidang Perubatan (Doktor Perubatan) dan bidang Sains Kesihatan (Sains Bioperubatan, Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan, Dietetik, Pemakanan & Kesihatan Komuniti dan Kejururawatan)  

Program-program akademik FPSK UPM merupakan program berkualiti serta mendapat pengiktirafan Malaysian Qualification Agency (MQA). Sebagai tambahan, salah satu daripada program pengajian fakulti ini iaitu program Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan juga telah diakreditasi diperingkat antarabangsa oleh The Chartered Institute of Environmental Health, United Kingdom. Pada masa ini , Fakulti ini sentiasa berusaha untuk mendapat lebih banyak pengiktirafan bagi program-program lain termasuk pengiktirafan pakar-pakar perubatan klinikal dan saintis dalam bidang penyelidikan. 

Dalam bidang Perubatan Klinikal, sebagai tambahan kepada bilangan Pakar-pakar klinikal yang dilantik , fakulti ini berupaya memberi perkhidmatan perubatan tertiari melalui pakar-pakar klinikal yang berpengalaman dan diperakui dalam bidang sub kepakaran masing-masing. Terdapat sejumlah 7 pakar dalam sub kepakaran bidang Perubatan , 5 pakar dalam sub kepakaran bidang pembedahan Orthopedik , 5 pakar dalam sub kepakaran bidang Perubatan Kanak-kanak , 3 pakar dalam sub kepakaran bidang Perbidanan dan Sakit Puan, 6 pakar dalam subkepakaran bidang Pembedahan Surgeri dan pakar-pakar dalam subkepakaran Opthalmologi , Psychiatry dan Perubatan Bius . Pakar-pakar klinikal fakulti ini memberi perkhidmatan klinikal di Hospital Serdang (Hospital Pengajaran) dan bekerjasama dengan pakar-pakar bidang Mikrobiologi , Patologi (manusia) dan Pengimejan Radiologi. FPSK UPM juga menawarkan kepakaran dalam bidang Kesihatan Masyarakat melalui pakar-pakar bidang Perubatan Keluarga dan Perubatan Komuniti. Semua pakar-pakar klinikal FPSK diperakui dan berdaftar dengan Pendaftaran Kepakaran Nasional atau lebih dikenali sebagai National Specialist Register (NSR).  

Untuk makluman, maklumat yang dipaparkan dalam laman web ini sentiasa melalui proses kemas kini secara berkala. Saya mengalu-alukan sebarang cadangan  penambah baikan dan sekiranya  anda memerlukan bantuan lebih lanjut , sila hubungi kami melalui talian talifon atau email seperti yang tertera .  

Saya mengucapkan selamat melayari laman web Fakulti Perubatan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia dan berharap maklumat dari laman web ini dapat membantu pencarian anda.
 

BERILMU BERBAKTI


Dekan