| FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN

Tanggungjawab kawal pergerakan dalam peralihan fasa

Ringkasan Artikel

Pakar perubatan kesihatan awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, berkata namun pada masa yang sama ia seiring dengan program vaksinasi remaja yang sedang giat dijalankan

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi - September 30, 2021 @ 5:17pm

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes COVID-19 membabitkan golongan remaja dan kanak-kanak dijangka berlaku dengan peralihan fasa dan pembukaan semula sekolah secara berperingkat.

Pakar perubatan kesihatan awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, berkata namun pada masa yang sama ia seiring dengan program vaksinasi remaja yang sedang giat dijalankan.

Selain itu katanya, terdapat juga pemberian dos tambahan yang kini masih di peringkat awal dan bermula di Sarawak membabitkan golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi.

"Saya melihat tindakan dalam menangani jangkitan COVID-19 ini adalah tanggungjawab semua pihak dan bukan hanya kerajaan dalam mengawal pergerakan.

"Orang ramai seharusnya lebih peka dan mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang lebih dari mencukupi setelah kita melalui pandemik ini hampir dua tahun melalui pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta data yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan kadar kematian, jumlah pesakit menunjukkan gejala yang serius dan sebagainya," katanya kepada BH.

Dr Halimatus berkata, beliau sedar ramai orang terutama kanak-kanak dan remaja yang mahu keluar berekreasi setelah sekian lama duduk di rumah.

Namun katanya, ibu bapa seharusnya meletakkan keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan anak-anak terutama yang lebih berisiko.

Katanya, dalam keadaan ketika ini, ibu bapa sepatutnya hanya keluar apabila perlu, malah ia masih perlu dilakukan untuk jangka masa yang agak lama.

"Ibu bapa juga perlu bijak dalam memilih tempat yang perlu dilawati dan mengelakkan pergi ke kawasan yang terlalu sesak yang berkemungkinan terdedah kepada risiko jangkitan," katanya.

Beliau berkata, walaupun jumlah kes baharu menunjukkan sedikit penurunan, pada masa sama kadar kematian membabitkan warga emas yang sudah divaksinasi masih tinggi dan ia bukan sesuatu yang dianggap remeh.

"Orang ramai mula alpa dan merasakan mereka selamat setelah divaksinasi. Malah apabila dijangkiti COVID-19, ada yang menunggu di saat akhir untuk ke hospital menyebabkan rawatan yang lebih berkesan tidak dapat diberikan pada saat akhir.

"Oleh itu dengan ketidakpastian yang terlalu banyak membabitkan jangkitan COVID-19, orang ramai perlu terus berhati-hati, tidak leka dan tidak seharusnya merasa terlalu selesa dengan kelonggaran yang diberikan serta kadar vaksinasi yang sudah melebihi 80 peratus," katanya.

Sumber asal: 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/870762/tanggungjawab-kawal-pergerakan-dalam-peralihan-fasa

 

SXETUAQ~