| FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN

Tingkatkan langkah berjaga-jaga, lindungi kanak-kanak

Ringkasan Artikel

Pakar perubatan kesihatan awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Aisah Mokhtar, berkata ketika ini vaksin COVID-19 yang diambil adalah bersifat perlindungan peribadi kerana golongan kanak-kanak yang berisiko mendapat jangkitan masih belum layak mendapat vaksin

Tuty Haryanti Ahmad Rodzi - September 30, 2021 @ 7:03pm

KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga terutama di luar rumah berikutan jumlah kes dan angka kematian akibat COVID-19 yang masih tinggi.

Pakar perubatan kesihatan awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Aisah Mokhtar, berkata ketika ini vaksin COVID-19 yang diambil adalah bersifat perlindungan peribadi kerana golongan kanak-kanak yang berisiko mendapat jangkitan masih belum layak mendapat vaksin.

Bagaimanapun katanya, penularan kes tidak kira peringkat umur namun bergantung kepada tiga faktor iaitu pertama kehadiran virus dalam komuniti, kedua, individu yang rentan terhadap jangkitan.

"Faktor ketiga pula adalah kerana keadaan persekitaran yang sesuai bagi penularan berlaku terutama tempat sesak, sempit, permukaan yang tercemar dengan cecair pernafasan serta ventilasi yang tidak baik," katanya kepada BH.

Dr Siti Aisah berkata, pembukaan pusat beli-belah dan restoran ketika ini adalah bagi mengimbangi kesan kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Katanya, kelonggaran itu diberikan dengan mengambil kira peningkatan peratusan vaksinasi dalam kalangan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas.

"Oleh yang demikian ibu bapa yang sudah lengkap vaksin dan ingin membawa anak usia bawah 18 tahun ke tempat awam perlu sentiasa ingat bahawa terdapat kemungkinan anak mereka dijangkiti jika tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Justeru katanya, dalam situasi semasa, semua orang terutama ketua keluarga berperanan dan bertanggungjawab memastikan ahli keluarga yang keluar, tidak pulang dengan membawa virus COVID-19.

"Langkah yang boleh diambil termasuk memastikan anak berusia 18 tahun ke bawah yang ingin dibawa keluar sihat dan tidak mempunyai gejala; tahu ahli keluarga yang menjadi kontak rapat; pastikan ahli keluarga tahu kepentingan menjaga kesihatan dan SOP dan pastikan tempat yang dituju tidak sesak.

"Selain itu, organisasi yang menguruskan tempat seperti pusat beli-belah, restoran dan tempat awam juga perlu memastikan fasiliti mereka selamat daripada jangkitan COVID-19 dengan mengambil langkah yang sewajarnya," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, tidak wajar mengatakan kelonggaran diberikan kerajaan sebagai punca kes meningkat, sebaliknya ia berpunca daripada ketidakpatuhan SOP.

Terdahulu, media melaporkan jangkitan COVID-19 membabitkan golongan bawah 18 tahun mengundang kebimbangan apabila merekodkan peningkatan lebih 32 kali ganda dalam tempoh sembilan bulan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata statistik menunjukkan sekitar 12,000 individu berusia bawah 18 tahun disahkan positif COVID-19 tahun lalu.

Jelasnya, perangkaan semasa berhubung kadar penularan jangkitan dalam kalangan golongan berkenaan melonjak kepada lebih 400,000 tahun ini.

 

Sumber asal:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/870830/tingkatkan-langkah-berjaga-jaga-lindungi-kanak-kanak

 

SXERHAc~