| FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN

PENGGUNA JALAN RAYA KENA UBAH SIKAP

PENGGUNA JALAN RAYA KENA UBAH SIKAP

Oleh: WARTAWAN SINAR HARIAN

Dari kiri: Moderator, Nazri bersama barisan panel iaitu Shahrol Yuzi, Ruslan, Kulanthayan dan Achey selepas Wacana Sinar Harian Siri ke-43 bertajuk Pusara Di Jalan Raya: Sampai Bila? di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, kelmarin. - Foto ROSLI TALIB

KEMALANGAN jalan raya bagaikan sudah sinonim dengan negara ini. Boleh dikatakan, hampir setiap hari insiden kemalangan jalan raya dilaporkan media dan jumlahnya pasti meningkat menjelang musim perayaan.

Wacana Sinar Harian Siri ke-43 yang berlangsung kelmarin, mengupas isu ini dengan tajuk Pusara di Jalan Raya: Sampai Bila? Wacana ini menampilkan empat panel iaitu Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan Kawalan/Lalu Lintas/ Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, ASISTEN KOMISIONER RUSLAN KHALID, bekas pelumba Grand Prix, SHAHROL YUZY, pelawak terkenal, MOHD NASIR HAMZAH (ACHEY) dan Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, PROF MADYA DR KULANTHAYAN KC MANI. Program ilmiah ini dikendalikan oleh NAZRI KAHAR dari Astro Awani.

Tuan, saban tahun terutama musim perayaan, 1.6 juta kenderaan berada di jalan raya, tetapi hari biasa mungkin kurang daripada itu, tapi masih berlaku kemalangan, melihat angka tertinggi ini, mengapa perlu kita risaukan? Silakan tuan.    

RUSLAN: Memang betul kalau kita lihat kepada angka, satu hari lebih kurang 18 kematian direkodkan maksudnya dalam tempoh 24 jam, dalam setiap dua jam mesti ada seorang mati di atas jalan raya di Malaysia, setahun kita ada lebih kurang dalam 6,700 lebih kematian setahun, cuba kita kali dengan lima tahun lebih dekat 40,000, boleh muat satu stadium.

Memang betul kematian itu qada dan qadar, tetapi kita perlu usaha elakkan. Banyak faktor menyumbang kepada kemalangan jalan raya dan kalau kita lihat, yang mustahak ialah faktor manusia, kejuruteraan, dan kenderaan. Tiga faktor utama.

Dalam ketiga-tiga faktor ini, faktor manusia, iaitu sikap manusia di Malaysia ni memang belum sampai ke tahap kita kehendaki. Contoh masa terbaik musim perayaan, masa balik kampung orang kampung tanya pukul berapa bertolak tadi? pukul 3, uih cepat sampai, ha... itulah teror tak aku? Maksudnya kalau perjalanan tu boleh buat dalam masa dua jam tapi dia boleh sampai sejam cuba bayangkan berapa berapa kelajuan dia bawa? Masalahnya kita bangga dengan dosa-dosa di atas jalan raya tu, sifat tu yang kalau boleh kena elakkan dan inilah budaya yang masih ada.

Budaya inilah yang polis khususnya jabatan trafik ingin ubah, dengan pendekatan agak drastik dalam masa terdekat ini. Kita ada empat pendekatan, salah -satunya adalah melalui penguatkuasaan dan kalau kita dapat tukar budaya ini, Insya-ALLAH kita dapat bendung, selagi tak berubah, selagi tu lah kita terpaksa hadapi dan kita akan kerugian 6,000 nyawa tu.

Itu yang kita bimbang dan pihak polis memang ambil pendekatan fokus kepada penguatkuasaan kejuruteraan, pendidikan dan rawatan kecemasan, pada sebelum, selepas dan ketika berlaku kemalangan. PDRM dan agensi penguat kuasa lebih menumpukan kepada sebelum dan langkah-langkah pencegahan.

Bolehkah Shahrol Yuzi berkongsi pengalaman sebelum dan selepas menjadi pelumba profesional ketika berada di negara maju, terutama negara-negara Eropah dalam aspek keselamatan jalan raya?

SHAHROL YUZI: Bagi saya, memang meminati kelajuan. Kalau hendak diikutkan saya ada banyak saman. Tetapi dalam masa yang sama, perlumbaan membuatkan saya menjadi lebih berdisiplin.

Saya tinggal di Eropah selama tujuh tahun, namun tidak melihat satu pun kemalangan. Kenapa saya berani bercakap tidak pernah melihat kemalangan adalah kerana dari Barcelona saya selalu travel dalam setiap perlumbaan menggunakan caravan. Setiap perjalanan memakan sehingga 1,500 kilometer. Apa yang saya lihat adalah perbezaan cara pemanduan mereka berbanding kita.

Di Eropah sana, sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas, motosikal pun akan turut beratur di belakang lori walaupun 10km. Jadi, saya rasa ia disebabkan disiplin dan pendidikan diterapkan kepada anak- anak dengan cara yang baik. Sepanjang tujuh tahun itu, saya cuma melihat satu kemalangan disebabkan mabuk.

Selain itu, jika di Malaysia ramai mat rempit, tapi negara Eropah pun ada tetapi motosikal yang digunakan lebih besar. Apa yang saya lihat kerjasama penduduk dengan polis sangat baik. Setiap kali ada perlumbaan, mereka mengadakan karnival.

Di situ anak- anak muda mereka melepaskan apa yang dimahukan. Sekiranya jatuh atau berlaku kecederaan ambulans akan membawa mangsa ke hospital. Semasa  memandu di jalan raya, mereka tetap berdisiplin. Jika hendak dilihat, kemahiran orang Eropah lebih baik berbanding kita sebab mereka menggunakan kuasa yang lebih tinggi dengan kelajuan seperti di Jerman, minimum kelajuan 120km/j.

Jika dahulu, karakter saya sama sahaja, tetapi selepas terlibat secara profesional, ia mengajar saya erti simpati, tolak ansur. Alhamdulillah walaupun saya laju di jalan raya, tiada rasa nak memaki orang. Sifat kita perlu jaga.

Memang sifat saya meminati kelajuan namun pada masa yang sama penunggangan dan kenderaan haruslah berada di tahap terbaik. Apabila kita hendak menunggang motosikal dalam keadaan laju, ia janganlah berada di luar kawalan dan kemampuan. Disk break nipis, tayar botak, kelajuan maksimum 180km/j dipecut menjadi 200km/j, itu adalah tidak sempurna.

Pada masa yang sama, penguat kuasa pun harus menekankan perkara ini kerana berdasarkan pengalaman di Eropah, setiap tahun kenderaan diwajibkan menjalani pemeriksaan.

Boleh kongsikan sedikit pengalaman Achey dalam bidang permotoran.

ACHEY: Berkongsi pengalaman fokus semasa memandu, saya telah melakukan kesalahan dengan menyanyi menggunakan aplikasi Smule. Saya akui hilang fokus semasa memandu kerana terpaksa melihat lirik lagu tersebut. Saya teruk dikecam masyarakat namun saya akui kesalahan itu dan memohon maaf serta tidak akan mengulangi kesalahan sama. Sekiranya ingin Smule, saya berhentikan kereta di tempat selamat terlebih dahulu.

Pengalaman seterusnya adalah motosikal. Kita tahu anak-anak muda mempunyai banyak kelebihan. (Orang) Jepun datang ke sini pun naik pelik melihat kehebatan anak muda melakukan pengubahsuaian terhadap motosikal.

Apabila kreativiti digunakan bersama dengan sikap yang tidak bagus di jalan, akan berlakunya pusara di jalan raya. Kalau hendak ‘rembat’, biarlah kena pada tempatnya contoh di program tertentu yang dianjurkan dan disokong oleh polis serta sebagainya. Kita perlu Google sahaja untuk tahu di mana lokasi sesuai untuk mempamerkan kehebatan kita tetapi bukan di jalan raya. Tolong ya.

Dr ada membuat kajian sikap terutama kempen keselamatan kanak-kanak dalam hal jalan raya, bagaimana ibu bapa mewarisi tabiat berada di jalan raya kepada anak-anak adalah pendedahan yang paling utama sekali sebelum mereka mengambil lesen dan berada di jalan raya. Bagaimana sikap kita boleh berubah sekelip mata di atas jalan raya? Adakah majoriti orang Malaysia begitu?

KULANTHAYAN: Soalan singkat ini agak mencabar untuk di jawab tapi skop saya lebih kepada keselamatan kanak-kanak. Mungkin sebelum saya masuk persoalan sikap saya akan menyorot masalah utama negara kita apabila rekod kemalangan jalan raya di negara kita menunjukkan angka yang tinggi. Ada dua sebab utama yang saya nampak.

Pertama bilangan penduduk dengan bilangan kenderaan yang berdaftar. Bagi Malaysia yang mempunyai bilangan penduduk sebanyak 30 juta, kita mempunyai bilangan kenderaan 20 juta, satu angka yang agak tinggi yang bermakna setiap tiga orang ada dua kenderaan.

Kadar pertumbuhan penduduk pula pada tahap dua peratus, manakala pertumbuhan kenderaan adalah enam peratus. Akan sampai satu masa bilangan kenderaan dengan bilangan penduduk sama. Mana-mana negara yang mempunyai bilangan kenderaan yang tinggi negara tersebut mempunyai rekod kemalangan jalan raya yang tinggi. Bagi menangani isu ini, bilangan kenderaan perlu dikurangkan.

Ini membawa maksud penggunaan pengangkutan awam perlu ditingkatkan. Kita perlu bergerak daripada pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam.

Kalau kita nak menangani masalah ini kita kena mula buat keputusan untuk guna pengangkutan awam daripada pengangkutan persendirian. Rekod juga menunjukkan pengangkutan awam jauh lebih selamat daripada pengangkutan persendirian.

Yang kedua, kita tengok di mana-mana negara yang cukup baik dalam keselamatan jalan raya yang punyai rekod kemalangan jalan raya yang kurang kesemua negara ini mempunyai pengangkutan awam yang cukup baik terutama rail. Bandingkan negara-negara yang melabur dalam pengangkutan rail, negara tersebut mempunyai rekod kemalangan jalan raya yang kurang.

Itu yang sering kali diterapkan di Eropah?

KULANTHAYAN: Ya. Saya nampak Malaysia sedang bergerak ke arah tersebut. Dengan sistem MRT yang dibina kita akan mula memindahkan sebahagian daripada orang daripada jalan kepada pengangkutan awam. Sekarang kemudahan disediakan tapi kita perlu perubahan sikap daripada kita sebagai pengguna untuk sanggup meninggalkan kenderaan persendirian ke pengangkutan awam.

Yang ketiga, mana-mana negara yang mempunyai kenderaan motosikal yang tinggi, negara tersebut mempunyai bilangan kemalangan dan kematian yang tinggi. Itulah masalah kedua yang dihadapi di Malaysia.

Kalau nak menangani isu ini perlu menangani motosikal. Sebab kita 50 peratus daripada kenderaan berdaftar adalah motosikal. Mana-mana negara yang punyai bilangan motosikal yang tinggi, akan punya rekod kematian yang tinggi disebabkan faktor keseimbangan kenderaan tersebut.

Motosikal adalah dua roda berbanding dengan kereta empat roda. Mana-mana kenderaan dua roda sudah tentu kurang keseimbangannya. Sama ada orang langgar kita atau kita langgar orang, kecederaan adalah kepada kita.

Kedua adalah kerana motosikal adalah dalam bentuk terbuka, kalau dalam kereta kita keadaan tertutup di mana ada satu lapisan untuk perlindungan. Kalau berlaku kemalangan, kecederaan berlaku ke atas kereta baru penumpang.

Kalau motosikal sentuhan langsung. Sebab itu kematian tinggi. Dalam Malaysia sendiri kita tengok, mana-mana kawasan yang punyai penunggang motosikal yang tinggi, sudah tentu rekod kematian akan jadi tinggi.

Isu yang ketiga mungkin ramai yang katakan Malaysia terlalu teruk dari segi kemalangan jalan raya. Memang betul, tapi kita tidaklah paling teruk jika kita bandingkan dengan negara lain yang mempunyai pendedahan yang hampir sama.

Kita musim hanya satu musim, kalau negara Eropah mereka punyai empat musim. Bermaksud dalam musim winter pendedahan kurang . Bilangan orang yang bergerak ke jalan kurang. Bermaksud untuk rekod kita 12 bulan adalah dibandingkan dengan sembilan bulan rekod di negara Eropah.

Jadi untuk menangani isu ini boleh, tapi kita kena tukar sikap kita iaitu bergerak daripada pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam. Kedua jika dapat kurangkan penggunaan motosikal. Di mana ada peluang dan ruang untuk kita menggunakan motosikal. Sebab penggunaan motosikal adalah 17 kali lebih berisiko berbanding dengan kereta.


Sumber : www.sinarharian.com.my

 

Artikel dan video berkaitan :

 

 

SXDdQAq~