| FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN

Lawatan pensyarah Jabatan Kesihatan Komunti ke Institut Kanser Negara

Gambar berkumpulan di lobi Institut Kanser Negara

LAWATAN PENSYARAH JABATAN KESIHATAN KOMUNITI
FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN  UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KE
INSTITUT KANSER NEGARA DI PUTRAJAYA.

Pada 27 April 2016 (hari Rabu) sekumpulan pensyarah dari Jabatan Kesihatan Komuniti (JKK) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melawat Institut Kanser Negara di Putrajaya. Lawatan ini turut diikuti oleh seorang pelajar Doktor Falsafah (PhD) Kesihatan Komuniti dan dua orang pelajar Doktor Kesihatan Awam (DrPH). Program ini telah diatur dan diketuai oleh Profesor Madya Dr Hejar Abdul Rahman, Ketua Unit Epidemiologi di JKK FPSK UPM, sebagai salah satu kaedah pengajaran mata pelajaran Epidemiologi kepada pelajar pasca siswazah. Tujuan utama lawatan adalah untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang organisasi ini, terutamanya tentang fungsi dan tanggungjawab Unit Kanser Registri (UKR).


Ahli rombongan tiba di IKN sekitar jam 9 pagi dan telah diiringi oleh Puan Safariza binti Bujang, Penolong Pegawai Perhubungan Awam IKN, ke Pejabat UKR di tingkat paling atas (Aras 6) Kompleks Bangunan IKN. Ucapan alu-aluan selamat datang  telah diberikan oleh Ketua Penyelaras Unit Kanser Registri, iaitu Dr Renuga a/p Kunchi Raman. Taklimat tentang CRU telah diberikan oleh salah seorang kakitangan CRU, iaitu Dr Putri Nurelya binti Amir.


Kami telah diberitahu bahawa UKR IKN adalah pusat bagi pengumpulan data/maklumat mengenai pesakit-pesakit kanser dan unit ini membuat analisis serta menghasilkan laporan yang bersesuaian. Unit ini juga adalah pusat untuk Kanser Registri Kebangsaan, yang turut berfungsi sebagai pengkalan dalam pengumpulan data/informasi bagi semua kes-kes kanser di Malaysia. Sumber maklumat yang dikumpulkan tersebut didapati dari pelbagai punca, termasuk dari Jabatan Patologi dari hospital-hospital kerajaan dan swasta, Jabatan Pendaftaran Negara, Pusat Informatik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, serta dari Jabatan Radioterapi & Onkologi dari Hospital-hospital kerajaan dan swasta. Dr Putri juga telah memberitahu kami tentang objektif UKR, pelbagai jenis perkhidmatan yang ditawarkan di sini, dan bersama dengan Dr Renuga serta Dr Nabihah binti Ali (juga pegawai di UKR) telah menjawab pelbagai soalan yang kami kemukakan.

 

Penyerahan cenderahati kepada Dr Renuga oleh Prof Madya Dr Hejar Abd Rahman

Lawatan berakhir dengan penyerahan cenderamata oleh Ketua Rombongan kepada Dr Renuga dan sesi bergambar secara berkumpulan. Kami tiba dengan selamat di FPSK UPM sekitar jam 12 siang. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik ‘Bob’, pemandu bas UPM yang telah membawa kami semasa perjalanan. Semua ahli rombongan telah berpuas hati dengan program hari ini. Lawatan ke organisasi ini telah berjaya mencapai matlamatnya

 

Disediakan oleh Dr Titi Rahmawati Hamedon
Jabatan Kesihatan Komuniti
FPSK UPM


SXETBAX~