Amanat Tahun Baru 2013

dEKAN fpsk

 

AMANAT TAHUN BARU 2013

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera


Tuan-Tuan dan Puan-Puan,


Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah izin-Nya maka dapatlah kita bersama-sama mengakhiri tahun 2012 dengan jayanya dan berdepan dengan tahun 2013 yang penuh dengan pelbagai perkara yang perlu kita lalui bersama. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua warga fakulti yang sudi meluangkan masa untuk berkongsi bersama-sama saya beberapa perkara penting yang terkandung dalam amanat tahun baru saya ini. Seperti tahun lepas, dengan kedatangan tahun baru ini sudah pasti kita perlu bermuhasabah tentang apa yang kita capai.


Kalau dilihat pada tahun 2012 yang lalu kita telah banyak mencipta kejayaan dalam pelbagai perkara dan yang paling penting sekali dalam keputusan Jawatan Kuasa Perancangan dan Pembangunan Negara telah mengakui supaya memperhalusi cadangan membina hospital tambahan 400 katil (HUPM). Hospital ini adalah berdekatan dengan Hospital Serdang yang sediada di mana ianya akan ditadbirurus dan dimiliki oleh UPM. Bagi Hospital Serdang pula, ianya adalah eklusif untuk pelajar UPM dan satu perjanjian khusus bagi Hospital Serdang akan ditandatangani. Setinggi-tinggi penghargaan diberi kepada Dato Radin, Timbalan Chanselor UPM,  yang tidak mengenal penat lelah dalam menjuarai isu hospital pengajaran bagi FPSK UPM.


Bagi merealasasikan hospital ini, beberapa siri mesyuarat ‘value management’ bagi projek hospital telah diadakan. Mesyuarat ‘value mangement’ini membentangkan keperluan unjuran staf, peralatan, jabatan klinikal yang akan ditempatkan dll dari setiap jabatan FPSK. Memang banyak masa dan tenaga telah diluangkan bagi semua yang terlibat. Walaubagaimana pun, usaha gigih ini ada hikmah sebaliknya. Saya rasa kita lebih bersatupadu dan berkeyakinan dalam halatuju Fakulti untuk mencapai misi dan visinya.  Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat; pengurusan yang diketuai oleh Encik Muhazam, Professor Dr Zamberi, Dr Muhammad dan semua Ketua Jabatan dan Ketua Unit yang bertungkus lumus dalam menyediakan kertas kerja projek hospital ini.  Sesungguhnya kejayaan tidak akan datang bergolek ke arah kita. Oleh itu kita perlu menanam komitmen yang tinggi dan berusaha tanpa jemu. Harapan yang diimpikan tidak akan menjelma tanpa pengorbanan yang didayakan oleh kemahuan, serta kekuatan dorongan.


Tuan-Tuan dan Puan-Puan,


Selain dari hospital, fakulti juga telah mengorak ke hadapan dengan pebukaan Klinik Putra Medik di Putra Walk, Seri Kembangan. Klinik ini sebenarnya merupakan satu keperluan Masters Perubatan Keluarga, salah satu program yang ditawarkan tahun ini. Bilangan pesakit dari masyarakat tempatan Seri Kembangan semakin bertambah dan diharapkan klinik ini dapat maju lagi. Bilik Postgraduate yang baru, siap dengan pantri telah dibangunkan di Tingkat 7 Bangunan Makmal dan telah dimanafaatkan  oleh pelajar postgraduate FPSK. Masalah parking juga yang selama ini membelengkui masyarakat Fakulti terutamanya pelajar telah diatasi dengan lot parking yang telah disediakan. Selain dari itu, Fakulti juga telah membangunkan website yang baru, yang saya rasa lebih berinfomasi dan bergaya tapi masih tidak begitu ‘user-friendly’ dan perlu penambahanbaik. Walaubagaimana pun, saya ucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa website ini di ketuai oleh Professor Zailina dan rakan-rakan, juga Unit IT) yang bersusah payah membangunkan website Fakulti, Akhir sekalli, dengan sumbangan dari warga Fakulti sebanyak RM40,000, sebuah surau baru telah dibangunkan di Tingkat bawah bagi kegunaan semua.


Tahun 2012 juga merupakan detik permulaan di mana semua staf kini (jabatan surgery dan psaikaitri) ditempatkan di FPSK dan pelajar perubatan klinikal di Kolej 17. Ini berikutan penutupan pejabat yang bertempat di Grand Seasons Hotel dan hostel penginapan di Hostel Damai, kedua-duanya di Kuala Lumpur. Rungutan dari ibu-bapa pelajar mengenai penginapan di Hostel Damai yang tidak sesuai dan selamat merupakan antara faktor penutupan Hostel. Kini pelajar-pelajar berulang-alik dari Hospital Kuala Lumpur ke Kolej 17, dari pagi ke malam bagi pelajar yang ‘on-call’.


Tuan-Tuan dan Puan-Puan,


Dari segi akademik, Fakulti telah mencapai beberapa KPI. Ini termasuk bilangan PhD yang dikeluarkan dan program mobiliti pelajarnya telah mencapai matlamat yang ditentukan, penawaran empat program Masters Perubatan termasuk Pediatrik, Psaikaitri, Perubatan Keluaraga dan Kesihatan Komunit. Fakulti juga patut berbangga dengan kelulusan 100 peratus pelajar Tahun Pertama bagi Masters Patologi. Bagi KPI penyelidikan pula, Fakulti walaupun belum di istiharkan secara formal, insyallah telah mercapai KPI publikasi dan grant (sekiranya RUGS dikira) nya bagi tahun 2012. Tahun ini bilangan  paten juga bertambah. Syabas kepada jabatan-jabatan yang telah mencapai KPI masing-masing. Pada tahun ini juga lebih banyak jabatan klinikal menyumbang ke arah penyelidikan. Diharap FPSK seperti yang diumumkan oleh Dato Saleh, TNCPI UPM, sebagai ‘a new POWER HOUSE’ menjadi satu kenyataan.


Tuan-Tuan dan Puan-Puan,


Dikesempatan ini juga saya ini ingin saya berkongsi dengan semua berkenaan program yang telah kita jalankan pada tahun 2012. Pada pendapat saya, program komuniti adalah salah satu kekuatan FPSK UPM. Jarang Fakulti perubatan membawa semua pakar-pakarnya turun ke  padang memberi perkhidmatan ke masyarakat luar bandar. Dua projek komuniti yang membawa impak tahun ini adalah projek Pasir Gudang (Prof Latiffah dan rakan-rakan yang berjaya mendapat tajaan KPT sebanyak RM140,000)  dan projek Orang Asli bagi membina dan melatih kaum wanita kaum tersebut dalam penjagaan nutrasi dan kesihatan anak-anak mereka di Temerloh, Pahang (Prof Zalila dan Jabatan pemakanan dan dietitik, tajaan Aji-Nomoto).  Projek berimpak adalah yang membawa impak social melalui penyelidikan yang dijalankan; ukuran ini adalah yang telah digariskan oleh universiti. Selain dari itu, projek program yang lain juga adalah beberapa projek sunathon yang dijalankan oleh pelajar perubatan diketuai oleh Dr Saleh, pakar bedah UPM, projek bersama dengan rumah orang tua (program jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan) dan baru-baru ini di Rawang. Matlamat program komuniti ini adalah bagi memperkasakan penglibatan Fakulti terhadap komuniti untuk penjanaan dan perkongsian ilmu di samping memperkenalkan FPSK, UPM sebagai sebuah fakulti perubatan dan sains kesihatan dari universiti penyelidikan yang menghasilkan doktor perubatan untuk kepentingan perkhidmatan kesihatan rakyat dan Negara. Saya berharap agar program sebegini dapat dijalankan lagi dan mengharapkan semua kakitangan akan dapat memberikan sokongan tidak berbelah bagi untuk menjayakan program-program tersebut bagi memperkenalkan lagi FPSK kepada masyarakat.


Tuan-Tuan dan Puan-Puan,


Saya juga berbangga dengan sifat kerjasama yang tinggi yang ditunjukkan oleh staf terutama sokongan semasa aktiviti gotong royong mengecat bangunan Fakulti. Ini berikutan teguran Dato Radin, VC mengenai cat Bangunan FPSK yang kelihatan lusuh selepas 6 tahun dibuka. Saya sangat teruja dengan respon para staf yang diberi di mana ramai telah turun ke padang menyahut teguran dan bangunan FPSK dicat dalam masa 3 hari. Sungguh membanggakan.  Budaya kerja berpasukan amat sesuai diamalkan. Bak kata pepatah " Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah". Susah senang, suka duka, diharung bersama dalam usaha kita untuk mengangkat imej FPSK, kearah kecemerlangannya. Saya berharap sungguh aktiviti ini dapat diteruskan pada tahun 2013 untuk mengecat Banguan Makmal pula.


Tuan-Tuan dan Puan-Puan


Dalam beberapa jam lagi,bila detik jam tepat pukul 12 malam tanggal 31hb Disember, bagi kebanyakan d antara kita sekadar mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru. Bagi setengah insan yang lain pula, ianya merupakan putaran pertukaran kalender tahun yang baru. Bagi yang lain pula, Tahun Baru pula merupakan simbolik permulaan bagi hari ESOK YANG LEBIH BAIK. Saya harap begitulah untuk semua warga FPSK. Tahun Baru adalah masa untuk membuka horizon yang baru, sama-sama membina semangat baru dan kepercayaan pada diri sendiri , bersiap-sedia mengharungi segala dugaan dan merealesasikan cita-cita baru.


Sebelum saya mengakhiri amanat saya ini sekali lagi saya ingin mengucapakan syabas dah tahniah atas kerjasama semua warga fakulti dalam membantu pihak pengurusan fakulti dalam melicinkan proses pentadbiran dan saya juga berharap semoga budaya kerja berpasukan sebegini dapat terus dipupuk dan menjadi tradisi bekerja kita. Sama-samalah kita berdoa agar keadatangan tahun baru ini membawa lebih banyak bibit kejayaan kepada kita dan saya juga mengharapakan komitmen yang berterusan dari semua demi mencapai hasrat kita untuk mencapai kecemerlangan.


Sekian, Wassalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.


Terima kasih.


PROF. DR. NORLIJAH OTHMAN
DEKAN
FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

Copyright © 2011 .Faculty Of Medicine And Health Sciences, UPM - iDEC Zon ICT 8