| FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES

Jangkitan semasa hamil antara punca autisme

AUTISME adalah gangguan kompleks tumbesaran sistem saraf yang menjejaskan mental, emosi, kemampuan pembelajaran dan ingatan dalam diri seseorang inidividu.

Ia yang dicirikan oleh kesukaran untuk melakukan interaksi dan komunikasi sosial; dan juga didiagnos melalui pola pemikiran dan tingkahlaku yang terbatas.

Ia biasanya mula dikenalpasti semasa umur seorang kanak-kanak itu mencapai 1-3 tahun, serta mula ketara sehingga umurnya meningkat 6 tahun.

Secara global, cerapan menunjukkan peningkatan kes autism dalam tempoh 20 tahun kebelakangan. Data prevalens gangguan autisme di Malaysia tidak diketahui dengan terperinci.

Namun melalui kajian setempat menganggarkan setiap 625 kanak-kanak terdapat satu kes autisme. Data semasa juga menunjukkan kanak-kanak lelaki lebih prevalen berbanding perempuan dengan nisbah 4:1.

Gejala autisme yang biasa ditemui ialah tindakbalas  tidak normal apabila berhadapan dengan ancaman tertentu, mengelakkan kontak mata, mempunyai kesukaran untuk meluahkan apa yang tersirat di dalam hati serta menunjukkan kesukaran apabila cuba berinteraksi antara satu sama lain.

 

Terdapat juga di kalangan mereka yang mengalami kesukaran bertutur serta mengambil masa untuk memberikan respon apabila berinteraksi dengan individu lain.

Seorang individu yang mengaami autism mempunyai pergerakan yang terhad, atau kadang-kadang menunjukkan tingkahlaku sama yang berulang-ulang serta gerak bahasa tubuh yang ditanggap pelik.

Terdapat situasi di mana tingkahlaku yang merbahaya atau mengganggu keadaan sekeliling ditunjukkan.

Situasi-situasi ini merupakan cabaran yang perlu dihadapi oleh ibubapa serta keluarga berkenaan, memandangkan dalam situasi tertentu, anak-anak autisme memerlukan perhatian serta pendekatan yang berbeza.

Apabila individu berkenaan semakin matang, tingkahlaku yang dianggap agresif dan mengganggu itu biasanya berkurangan, namun sedikit sebanyak masih terdapat kesukaran interaksi dan komunikasi sosial.

Ini menyebabkan sebahagian mereka terdedah kepada isu-isu yang memerlukan perhatian iaitu masalah pembelajaran, kesukaran di tempat kerja, tidak mampu berdikari, memilih hidup sendirian mengasingkan diri dari masyarakat serta menimbulkan ketegangan di kalangan ahli keluarga.

Secara umum, autisme dikendalikan melalui modul tingkahlaku spesifik untuk anak-anak autisme serta preskripsi ubat-ubat tertentu seperti risperidone dan aripiprazole.

Ubat berkenaan disyorkan oleh doktor untuk mengurangkan simptom atau gejala ketara seperti tidak dapat duduk diam dan mudah melontarkan kemarahan (irritability). Di samping itu, anak-anak autisme memerlukan sokongan pendidikan khas untuk membolehkan mereka mampu berdikari serta menduduki pembelajaran yang optima.

Penyebab sebenar autisme tidak diketahui sehingga kini. Kajian perubatan semasa menunjukkan, melalui puluhan kajian-kajian relevan  (kajian tersebut disebut juga sebagai kajian meta-analisis) mengenai kaitan faktor-faktor tertentu dengan autisme, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada situasi berlakunya autisme.

Antara faktor berkenaan ialah ciri-ciri genetik, sejarah keluarga yang mempunyai autisme, usia dan keadaan fizikal ibu semasa mengandung, jarak antara kandungan,  ketika hamil dan kelahiran bayi serta  jangkitan kuman yang berlaku ketika hamil.

Jangkitan kuman yang berlaku semasa kehamilan biasanya dikaitkan dengan gangguan tumbesaran seperti masalah palsi serebrum (cereberal palsy), peningkatan cecair sereberospina hingga menyebabkan hidrocephalus  dan keguguran pada awal peringkat kehamilan.

Data kajian menyeluruh turut mengaitkan jangkitan ketika hamil dengan autisme. Kajian ahli sains menunjukkan bahawa jangkitan yang berlaku semasa seseorang wanita itu hamil meningkatkan risiko autisme kepada bayinya yang bakal lahir sebanyak 12%.

Penemuan berkenaan juga mendapati risiko adalah lebih tinggi sekiranya jangkitan yang berlaku disebabkan oleh bakteria (18%).

Risiko autisme juga meningkat apabila jangkitan berlaku pada sistem saluran air kencing dan kulit, masing-masing dengan peningkatan risiko sebanyak 9% dan 14%.

Penjagaan semasa hamil merupakan fasa penting dalam memastikan kesihatan ibu dan anak di dalam kandungan. Disarankan untuk para dan bakal ibu memberikan perhatian serius terhadap risiko mendapat jangkitan-jangkitan tertentu ketika hamil.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil termasuklah sentiasa menjaga dan mengambil berat kebersihan diri secara menyeluruh. Jangkitan saluran kencing boleh dielakkan melalui kerap minum air kosong atau garam beralkali disamping menjaga higen alat sulit selepas melakukan hubungan intim bersama pasangan.

Wanita hamil juga perlu diberikan kemampuan pemberdayaan serta sokongan emosi menguruskan stres atau tekanan perasaan dengan baik.

Stress yang tidak wajar dan keterlaluan menyebabkan kekuatan imu seseorang menurun, sekaligus mendedahkan seseorang cenderung mendapat jangkitan.

Pengambilan makanan seimbang dengan tambahan zat tertentu adalah diperlukan untuk memastikan sistem pertahanan dan perubahan sistem badan semasa hamil, di samping juga sebagai usaha untuk menjaga kesihatan bayi yang dikandung.

Ibu hamil juga perlu mengelakkan diri dari kontak rapat dengan sebarang haiwan peliharaan seperti kucing, hamster, sesumpah (salamender )dan haiwan-haiwan yang lain yang dipelihara sebagai haiwan kesayangan.

Haiwan-haiwan berkenaan ini mempunyai potensi membuka ruang jangkitan kuman berkenaan ke dalam tubuh hos yang rentan.

Pastikan juga pengudaraan di dalam rumah pada tahap kualiti yang memuaskan untuk mengelakkan jangkitan saluran pernafasan.

Langkah pencegahan jangkitan semasa kehamilan merupakan langkah penting bagi melindungi ibu berkenaan dari potensi jangkitan yang mempunyai kesan terhadap bayi dalam kandungan seperti autisme.

Di samping usaha, kita semua perlu berdoa kepada Allah swt memohon rahmat serta sentiasa bersyukur dan redha. Selamat Hari Autisme Sedunia  (2 April 2020).


*Prof Madya Dr Malina Osman adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Universiti Putra Malaysia dan Astro AWANI.

http://www.astroawani.com/gaya-hidup/jangkitan-semasa-hamil-antara-punca-autisme-236454

SXDdKAh~