Negara Bebas Alahan | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» NEWS » Negara bebas alahan

Negara bebas alahan

Sumber Asal : UTUSAN Online http://m.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/negara-8232-bebas-alahan-1.189111

Negara bebas alahan

EKZEMA, asma, gatal-gatal, dan rhinitis (gatal-gatal dan bengkak pada membran mukus di dalam hidung) antara gejala yang berpunca daripada alergi atau alahan.

Keadaan tersebut kerap dialami terutama dalam kalangan kanak-kanak, yang mudah terdedah kepada bermacam-macam punca daripada persekitaran atau pemakanan.

Ini terbukti apabila statistik menunjukkan anggaran empat dalam setiap lima kanak-kanak di negara ini berisiko menghidap alahan apabila kedua-dua ibu bapa mereka didapati menghidapnya. Gejala tersebut semakin berleluasa hingga ke tahap epedemik kerana tiada penawar.

Sementara itu, di seluruh dunia pula lebih 300 juta menghidap sekurang-kurangnya satu jenis alahan dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), asma merupakan alahan kronik kanak-kanak yang paling tinggi di Asia.

Kenyataan ini sememangnya disokong kuat oleh Presiden Persatuan Alergi & Imunologi Malaysia (MSAI), Dr. Amir Hamzah Abdul Latiff, yang memberitahu, kadar peningkatan penyakit berpunca daripada alahan sangat ketara sejak 10 tahun lalu dengan kes asma meningkat daripada 0.8 peratus kepada 29.1 peratus dan rhinitis daripada 5 peratus kepada 45 peratus.

Tambah beliau, angka tersebut dijangka terus meningkat dari tahun ke tahun, meskipun faktor penyebab peningkatan masih belum diketahui.

“Kes alahan yang semakin meningkat daripada tahun ke tahun memberi petanda bahawa semua orang mempunyai risiko untuk mengalaminya.

“Begitupun, terdapat kesukaran dalam menangani isu alahan di Malaysia kerana kita menghadapi masalah kekurangan data. Ini menjadi antara penghalang kepada penyelidikan yang boleh digunakan untuk memupuk kesedaran masyarakat dalam isu ini.

“Bukan itu sahaja, malah alahan turut menjejaskan kualiti hidup seseorang. Kesimpulannya, alahan adalah kecelaruan pengaturcaraan sistem imun yang boleh mendatangkan kesan buruk,” ujarnya dalam ucapan sempena pelancaran inisiatif Negara Bebas Alahan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif tersebut, Dr. Amir berkata, Negara Bebas Alahan adalah ikrar MSAI yang percaya matlamat tersebut boleh dicapai apabila lebih rakyat negara ini memahami lebih mendalam mengenai situasi alahan.

Sambungnya lagi, bagi MSAI semua orang berhak menjalani kehidupan di negara yang bebas alahan dan dalam usaha menjadikannya suatu realiti, harus bermula dari sekarang.

Inisiatif yang melibatkan Kaji Selidik Kesedaran Terhadap Alahan di Malaysia, diadakan bertujuan mengubah landskap alahan di negara ini, di samping menumpukan perhatian kepada bagaimana alahan dikenal pasti dan diagnosis.

Jelas Dr. Amir, kaji selidik tersebut adalah yang pertama di Malaysia dan berada pada fasa pertama dalam inisiatif Negara Bebas Alahan.

Katanya, agak ironi apabila sesuatu yang pada mulanya adalah mekanisme pertahanan sistem imun diri berubah menjadi satu daripada penyakit kanak-kanak yang semakin kerap berlaku.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pediatrik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Intan Hakimah Ismail memberitahu, alahan mempunyai kesan mendalam terhadap kualiti kehidupan individu, sekali gus memberi impak sosio ekonomi.

Justeru katanya, ketika ini adalah masa terbaik untuk menjalankan kaji selidik tersebut.

“Kesedaran yang berada di tahap rendah dalam kalangan masyarakat hari ini menyebabkan kaji selidik ini dijalankan. Usaha itu bertujuan untuk mengetahui tahap sebenar kesedaran dalam diri masyarakat itu sendiri.

“Pada masa yang sama hasil kajian ini membolehkan kita berkongsi amalan terbaik dengan pengamal perubatan profesional lain, di samping menjalankan program kesihatan awam yang dapat merapatkan jurang pendidikan untuk alahan ini,” beritahunya yang juga merupakan ketua penyiasat bagi Kaji Selidik Kesedaran Terhadap Alahan di Malaysia.

Kaji selidik tersebut menyasarkan kira-kira 10,000 responden yang terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun untuk menilai hubung kait mereka dengan alahan di peringkat individu.

Kaji selidik kini dijalankan di lebih 250 klinik pediatrik dan pakar sakit puan seluruh negara selain 40 pusat perkembangan kanak-kanak di sekitar Lembah Klang, secara talian di laman sesawang MSAI.

Data yang dikumpulkan akan dianalisis oleh pasukan pengkaji di UPM di bawah bimbingan Dr. Intan dan hasilnya dijangka diumumkan MSAI pada Minggu Alahan Sedunia yang akan berlangsung pada 4 hingga 10 April ini.

Dalam pada itu Dr. Amir berkata, kaji selidik itu hanyalah permulaan kerana dalam fasa kedua MSAI akan membangunkan Pelan Tindakan Alahan Malaysia.

Pelan tindakan itu akan memperkasakan MSAI, UPM, dan pengamal perubatan profesional di seluruh negara untuk mengurangkan kos rawatan berkaitan pengurusan alahan dan membangunkan program khas dalam komuniti masing-masing.

“Pelan tindakan ini bertujuan menguruskan pencegahan alahan dan seterusnya memperbaiki kualiti kehidupan ratusan ribu rakyat di negara ini.

“Jadi sebagai rakyat yang prihatin, mulakan langkah pertama dengan membantu kami dalam menjadikan Malaysia sebuah negara bebas alahan dengan menyertai kaji selidik ini.

“Setiap maklum balas akan membantu kami memahami tahap kesedaran alahan dengan lebih baik dan maklumat yang diberikan bakal membantu kami mengurangkan risiko alahan untuk generasi masa depan,” katanya.

Kepada mereka yang ingin menyertai kaji selidik ini bolehlah layari laman sesawang www.AllergyFreeNation.com.

- See more at: http://m.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/negara-8232-bebas-alahan-1.189111#sthash.Owh96y11.dpuf

 

 


Updated:: [syed]

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389472606
0389472585
C1516188016