Pertingkat Kefahaman Kesihatan Kesan El Nino | FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
» ARTIKEL » Pertingkat kefahaman kesihatan kesan El Nino

Pertingkat kefahaman kesihatan kesan El Nino

Oleh Prof Madya Dr Malina Osman - Jun 3, 2023

Fenomena El Nino situasi terhasil akibat pemanasan luar biasa permukaan Lautan Pasifik di rantau Khatulistiwa sehingga menyebabkan perubahan cuaca drastik di benua Amerika Utara dan Selatan serta kemarau luar biasa di rantau Asia berdekatan wilayah Pasifik Barat.

Menurut pembahagian rantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia termasuk dalam lingkungan wilayah Pasifik Barat. Secara umum dari segi geografi, wilayah Asia Tenggara secara keseluruhan rantau terdedah terhadap kesan fenomena El Nino.

Fenomena El Nino berpotensi menyebabkan cuaca lebih panas dan kering, kemarau, kekurangan bekalan air bersih, pendedahan terhadap cuaca panas menjejaskan kesihatan serta berlaku jerebu.

Kesan langsung akibat peningkatan suhu harian boleh dibahagikan kepada dua iaitu kesan mendadak dan kesan berpanjangan. Untuk individu tidak biasa dengan cuaca panas, pendedahan langsung dalam tempoh berterusan boleh menyebabkan renjatan haba.

Peningkatan suhu mendadak dalam tempoh tidak normal menjejaskan metabolisme organ dalaman sehingga mengakibatkan kegagalan jantung, buah pinggang, paru-paru serta organ utama lain.

Individu berkenaan mengalami gejala seperti peningkatan suhu tubuh, kadar pernafasan dan denyut nadi, tidak sedar, perubahan tahap mental dan tingkah laku, sakit kepala teruk serta loya dan muntah.

Untuk kesan kronik atau berpanjangan pula, antara sering diabaikan ialah kesan kekurangan air dalam tubuh (dehidrasi). Kesan dehidrasi bakal memburuk seandainya berlaku pencemaran air dan makanan pada individu.

Kemarau berpanjangan pula menyebabkan kekurangan bekalan air, meningkatkan risiko pencemaran minuman dan makanan sekali gus meningkatkan potensi keracunan makanan serta penyakit bawaan air seperti kolera, demam kepialu dan keracunan makanan.

Situasi lebih panas juga menyebabkan situasi tidak selesa dan mengakibatkan manusia kurang fokus terhadap kerja rutin serta mengakibatkan mudah stress dan sakit kepala. Keadaan ini walaupun dianggap ringan boleh memberi kesan tekanan darah tinggi (hipertensi).

Satu lagi impak tidak langsung terhadap kesihatan ialah kejadian jerebu, berupaya menjadi semakin buruk dalam situasi El Nino berterusan. Kesan ini mengakibatkan fungsi paru-paru terjejas terutama penghidap asma atau masalah kerosakan paru-paru.

Dalam menangani kemelut perubahan cuaca akibat fenomena El Nino ini, manusia perlu memahami langkah pencegahan bersesuaian bagi mengelakkan diri terdedah kepada peningkatan suhu mendadak.

Buat masa ini, individu tidak biasa dengan cuaca panas perlu mengelak melakukan aktiviti luar. Pengambilan air minum seperti disyorkan iaitu enam hingga lapan gelas sehari tidak boleh diabaikan. Bagaimanapun, pesakit masalah buah pinggang perlu mengikut syor dinasihatkan doktor.

Sementara itu, potensi berlaku kemarau perlu ditangani dengan mengambil langkah menyimpan bekalan air secara selamat. Ini membolehkan semua penyediaan minuman dan makanan dilakukan menurut prosedur selamat bagi mengelakkan pencemaran.

Pada peringkat komuniti pula, masyarakat perlu memastikan sebarang pembakaran terbuka dapat dielakkan. Amalan merokok dan vaping juga perlu dibendung kerana kedua-dua amalan ini memburukkan pencemaran udara setempat disamping merosakkan fungsi paru-paru.

Masyarakat tetap perlu faham fenomena El Nino adalah fenomena global tidak dapat dielakkan, namun langkah pencegahan boleh dilaksanakan dengan kerjasama individu serta komuniti.

Penulis adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia

sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1109537/pertingkat-kefahaman-kesihatan-kesan-el-nino

Tarikh Input: 18/07/2023 | Kemaskini: 18/07/2023 | ahmadmustafa

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXEbOAZ~