Jalinan Kerjasama Sempena Hari Pemantauan Air 2023 | FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
» NEWS » Jalinan Kerjasama Sempena Hari Pemantauan Air 2023

Jalinan Kerjasama Sempena Hari Pemantauan Air 2023

Jalinan Kerjasama Sempena Hari Pemantauan Air 2023

 

Murid-murid mendengar sedikit perkongsian berkaitan kualiti air yang disampaikan oleh Dr Shaharuddin Mohd Sham, penyelaras kursus Kualiti Air dalam Kesihatan Persekitaran

 

Pada 10 dan 11 Jun 2023, pelajar Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dengan Kepujian, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli telah menganjurkan Hari Pemantauan Air 2023 bertempat di Sekolah Kebangsaan Penderas, Kuala Krau, Pahang. Seramai 30 orang murid telah mengambil bahagian dalam program tersebut. Majlis penutupan telah dihadiri oleh Dr Shaharuddin Mohd Sham, penyelaras kursus Kualiti Air dalam Kesihatan Persekitaran, En. Sarifudin bin Mat Jidin, Guru Penolong Kanan 1, SK Penderas dan disempurnakan oleh Profesor Dr. Normala Ibrahim, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.

Program Hari Pemantauan Air ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terutama sekali dalam kalangan murid sekolah tentang kepentingan pemantauan air dan peranan individu dalam memastikan kualiti dan keselamatan air terjaga. Ia juga bertujuan untuk mendidik individu dan komuniti tentang kepentingan memantau sumber air dan kesan terhadap sungai jika sesuatu pencemaran berlaku. Selain itu, objektif kedua program ini dijalankan adalah untuk memberi galakan kepada individu, organisasi dan kerajaan untuk mengambil tindakan dalam memantau sumber air disamping untuk menekankan kepentingan pemantauan berkala, pengumpulan data dan analisis untuk mengenal pasti isu yang berbangkit berkaitan pencemaran air dan membangunkan penyelesaian yang berkesan untuk menanganinya. Seterusnya, pelaksanaan program ini juga bertujuan untuk membina perkongsian dan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan kumpulan komuniti. Dengan wujudnya pelaksanaan seperti ini, ianya mampu meningkatkan pemahaman berkaitan kualiti air.

Enam aktiviti pemantauan air telah dijalankan bersama murid SK Penderas (JHEOA) termasuk pemeriksaan suhu air sungai dan kekeruhan air. Murid menggunakan bekas dan pelekat termometer untuk mengukur suhu dan mendapati suhu sungai pada ketika itu ialah 28℃. Seterusnya, murid mengukur kekeruhan air dan memperoleh 0 JTU. Ini menunjukkan air sungai itu jernih dan bersih.  Aktiviti yang ketiga adalah pemeriksaan pH air dimana murid-murid mendapat bacaan pH 7 yang menunjukkan sungai tersebut neutral dan boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti rekreasi. Kemudian, murid-murid  tersebut memeriksa oksigen terlarut di dalam air sungai. Melalui eksperimen, nilai oksigen terlarut yang diperolehi adalah 4 ppt. Hal ini menunjukkan air sungai tersebut sesuai untuk hidupan akuatik. Aktiviti seterusnya ialah murid menggunakan teropong air yang diperbuat daripada botol air dan plastik lut sinar untuk melihat hidupan akuatik di dalam Sungai Terbol. Akhir sekali, murid melakukan aktiviti penapisan air di mana mereka membuat sistem penapisan air menggunakan botol air mineral. Lapisan dilakukan dengan meletakkan kain, pasir, kapas, dan batu kecil. Air sungai yang bersih dari bendasing dapat dilihat setelah melalui proses penapisan.

Kesimpulannya, aktiviti pemantauan air ini dapat memberi kesedaran dan pengetahuan awal tentang kepentingan pemantaun air kepada murid. Pendedahan awal ini dapat mencegah  pencemaran air demi menjaga kesejahteraan sumber air. Harapannya adalah agar sumber air dapat diurus dengan baik dan bebas pencemaran bagi menjamin kualiti air pada masa hadapan untuk kegunaan masyarakat.

 

Murid-murid menjalankan amali pemantauan di Sungai Terbol bersama-sama fasilitator

 

Murid-murid sedang melakukan amali Penapisan Air bagi mendapatkan hasil air sungai yang bersih dari bendasing

 

 

Murid sedang melakukan amali Teropong Air untuk melihat hidupan akuatik di dalam sungai.

Disediakan Oleh: Ahmad Nur Aiman Ishak, Atiqah Zahidah Samsudin, Siti Balqis Haikal Luxkeman Hakim, Nurul Asyiqin Azhar, Anis Farhanah Samsul Kamal, Nasreen Atiqah Mohd Mozani, Nurul I’ffah Mat Shah Fee, Morgan Morris, Siti Nur Izzah Nasaruddin, Izah Izzati Mohammad Nizan

Date of Input: 15/06/2023 | Updated: 15/06/2023 | yubin

MEDIA SHARING

FACULTY OF MEDICINE AND HEALTH SCIENCES
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 2300
03 9769 2585
SXEcGA3~